December 24, 2009

Bukit batu kapur Gua Bama, Lipis


Bukit batu kapur yang dinamakan sebagai Gua Bama ini dapat diperhatikan di tepi Jalanraya K.Lipis ke G.Musang berhampiran pekan Padang Tengku. Bukit batu kapur ini berketinggian kira-kira 60m dengan panjang 400m. Hampir keseluruhannya dibentuk oleh batu kapur masif dan batu kapur berlapis tebal. Usianya telah lama dianggarkan berusia Karbon tetapi tanpa sebarang bukti paleontologi. Metcalfe (1995) melaporkan penemuan fosil konodon berusia Perm Akhir manakala Shafeea Leman pula melaporkan penemuan foraminifera juga berusia Perm Akhir. Batuan berargilit yang kebanyakkannya bertuf di sekeliling gua Bama dilaporkan mempunyai fosil brakiopod Perm. Dari kajian terkini, Sone & Shafeea Leman (2004) melaporkan penemuan cengkerang nautiloid Sibyllonautilus bamaensis SONE sp. nov. dalam batu kapur tersebut yang dianggarkan berusia Ladinian Awal.

Batu kapur ini adalah singkapan yang terakhir dari jujukan batu kapur Gua Musang yang kemudiannya timbul semula di Kota Gelanggi (Batu Kapur Kota Gelanggi) dan di Jengka (Batu Kapur Gunung Senyum dan Jebak Puyuh) selepas ditindih oleh Kumpulan Tembeling. Kajian lanjut perlu dilakukan bagi menentukan usia sebenar batu kapur ini, bukan sahaja di Gua Bama malah kesemua jujukan batu kapur yang memanjang dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia kerana kebanyakkan batu kapur dari Kumpulan Gua Musang adalah berusia Perm Tengah sehingga Trias Awal. Bertukaran fasies dari karbonat kepada berargilit, mungkin menandakan perubahan usia atau sempadan usia Perm-Trias.

Terdapat beberapa fitur menarik di bukit Gua Bama seperti perlapisan batu kapur masif dgn yang berlapis, syal bertuf dgn syal berkapur, sempadan transisi syal bertuf dgn batu kapur, sempadan hakisan syal bertuf dan batu kapur, lipatan gelongsoran dan sisipan tuf dalam batu kapur.

1 comment:

Dr. Aminudin Abdul Karim said...

Sdr.lihat finding(penemuan) saya dalam buku berjudul "Menyingkap Sejarah Lembah Bama Dinegeri Pahang Sebagai Pusat Perdagangan Terawal Bagi Asia Tenggara Dan mengesan Sultan Pemerintah Riau-Lingga-Johor Yang Menetap DiLembah Bama(Kg Relong)",terbitan Insan Gemilang Sdn Bhd.,2009.Kajian ini berdasarkan displin geologi,geografi,antropologi, dan iCT (KM).Kesimpulannya Lembah Bama adalah pusat pentadbiran zaman silam kerajaan Melayu sejak 30,000 tahun dahulu.Lihat juga artikel saya dalam tajuk " Peranan Sites Sebagai Pembuktian Sejarah " dalam blog.http://sungaibatuderelong.blogspot.com

Dr Aminudin