December 15, 2008

Bencana Geologi (Geohazards)




Bencana geologi atau geohazards secara amnya ditakrifkan sebagai satu keadaan, proses atau kejadian geologi yang mendatangkan ancaman, risiko atau potensi berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan manusia dan harta benda. Bencana geologi wujud secara semulajadi atau didorong oleh tindakan manusia. Bagaimanapun adalah agak sukar untuk membezakan bencana semulajadi dengan tindakan manusia, kerana dalam banyak kejadian, bencana geologi adalah berpunca atau sekurang-kurangnya diburukkan lagi oleh tindakan-tindakan manusia sendiri. Kebanyakan bencana geologi semulajadi berkaitan dengan hakisan, antaranya ialah; hakisan sungai yang mengakibatkan banjir kilat, ketidakstabilan cerun akibat hakisan yang mencetuskan aliran lumpur/ puing, tanah runtuh dan jatuhan batuan, pantai pula mengalami hakisan atau mendapan yang berlebihan dan di kawasan batu kapur berlaku lubang benam atau sinkhole dan pelarutan batuan dasar yang membentuk gegua atau cavity.

Bencana-bencana geologi semulajadi yang lain yang bersifat global antaranya adalah seperti gempa bumi, perubahan aras laut, masalah kesihatan oleh bahan radioaktif semulajadi dalam batuan atau tanih, letupan gunung berapi, tsunami dan tanam terbenam atau
land subsidence. Bencana-bencana geologi yang didorong oleh tindakan manusia antaranya ialah tanah terbenam, lubang benam akibat pengambilan air tanah berlebihan dan aktiviti perlombongan bawah tanah, pencemaran air permukaan dan air tanah kerana perbagai aktiviti pertanian, perindustrian, perlombongan dan domestik dan lubang benam, gelongsoran tanah, jatuhan batuan dan sebagainya akibat pelbagai aktiviti pembinaan dan pembangunan. Kita agak bernasib baik kerana tiga bencana geologi semula jadi yang biasanya mengorbankan ramai mangsa dan merosakkan banyak harta benda iaitu gempa bumi, tsunami dan letupan gunung berapi tidak berlaku di negara kita seperti yang dialami oleh beberapa negara jiran. Bagaimanapun beberapa bencana geologi yang lain kerap berlaku di Malaysia antaranya;
  • tanah runtuh yang biasanya berlaku selepas hujan lebat,
  • lubang benam yang berkaitan dengan lohong atau keruntuhan di kawasan batu kapur,
  • jatuhan batuan yang berkaitan dengan kawasan topografi batu kapur atau potongan cerun batuan,
  • hakisan pantai terutamanya di pantai timur Semenanjung Malaysia, dan
  • aktiviti seismos atau gempa bumi yang lebih aktif di Sabah dan sedikit di Sarawak serta Semenanjung Malaysia, tetapi ianya tidak mendatangkan kesan yang serius atau mempunyai risiko yang tinggi.
Sejak beberapa tahun yang lalu, kita semua mungkin masih ingat akan beberapa tragedi besar yang berkaitan bencana geologi yang berlaku di seluruh negara. Antaranya ialah kejadian runtuhan kondominium Highland Towers pada Disember 1993 yang telah mengorbankan sejumlah 44 mangsa, kejadian aliran puing/lumpur di jalan susur ke Genting Highlands pada Jun 1995 yang telah mengorbankan 23 mangsa, kejadian gelongsoran tanah dan banjir lumpur di Pos Dipang, Perak dan di lebuhraya berhampiran Gua Tempurung dan di Sandakan dan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang. Terbaru, apabila berlakunya kejadian tanah runtuh di kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada 6 Disember lalu yang mengorbankan empat nyawa dan harta benda jelas menunjukan kepada kita bahawa kita belum mampu melaksanakan tadbir urus cerun, khususnya pada cerun yang mempunyai risiko bencana.

Berbagai persoalan timbul setiap kali berlakunya kejadian sebegini dan pelbagai pihak mula menunding jari di antara satu sama lain. Setelah panas seketika, isu ini akan kembali sejuk sehinggalah berlaku pula kejadian atau tragedi lain dan proses sama akan berulang.
Seiring dengan perkembangan ekonomi dan pemesatan penduduk, pembangunan telah menular ke kawasan-kawasan yang lebih sensitif dan mempunyai risiko yang lebih tinggi sekiranya pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut. Dalam hal ini, bidang geologi mempunyai peranan yang penting dalam menyumbang kepada perancangan dan pengurusan persekitaran manusia bagi mewujudkan pembangunan yang mampan.

Penglibatan ahli kajibumi atau
geologist di peringkat perancangan sesuatu projek pembangunan adalah sangat penting bagi meminimumkan risiko berlakunya bencana geologi. Oleh itu sumbangan yang dimainkan oleh ahli geologi dalam membantu pihak perancang, jurutera, arkitek, pihak berkuasa tempatan (BPT) dan pihak pemaju dalam membangunkan sesuatu kawasan perlu dipertingkatkan. Ahli kaji bumi boleh membekalkan maklumat geologi yang lebih berkesan dan mudah difahami untuk dimanafaatkan oleh pelbagai pihak berkaitan. Dengan meningkatnya kefahaman dan kesedaran dari pelbagai pihak terhadap pentingnya perancangan sesuatu projek pembangunan itu dilakukan secara bersepadu iaitu melibatkan kepakaran dan input daripada pelbagai disiplin profesional, diharapkan agar bencana-bencana geologi yang kerap berlaku beberapa tahun kebelakangan ini dapat dielakkan atau dikurangkan.