December 29, 2011

Konglomerat Bukit Keluang, Besut


Singkapan konglomerat yang tebal tersingkap di Bukit Keluang, Besut. Batuan ini adalah termasuk dalam Formasi Bukit Keluang yang berusia Perm berdasarkan penemuan fosil tumbuhan (Pecopteris sp.). Formasi ini terdiri daripada konglomerat dan perlapisan tebal batu pasir. Jujukan formasi ini juga tersingkap di Bukit Bubus dan Bukit Dendong yang memanjang hampir utara-baratlaut. Bahagian yang menghala ke laut mempamerkan cenuram atau tebing tinggi. Fosil tumbuhan hanya ditemui di Bukit Dendong.


 Pemandangan Bukit Bubus.

 Struktur perlapisan batuan yang dicerap di Bukit Keluang mempamerkan jurus yang hampir selari dgn permatang dan termiring ke baratlaut.

 Konglomerat dari jenis mono-mictic ini tersingkap dengan meluas di bahagian utara Bukit Keluang yang mempamerkan pengaturan selari dengan satah perlapisan.

Dari segi fabrik sedimen, konglomerat ini adalah bersokongan klasta (clast-supported) yang terdiri daripada syal, batu pasir, kuartza yang bersaiz pebel, hampir bundar.

Klasta-klasta diikat oleh mineral besi. Konglomerat ini turut ditemui di Pulau Redang dan Bukit Besi dan mungkin dari kumpulan batuan yang sama. Secara umumnya, warna kemerahan yang dipamerkan oleh batuan ini mengambarkan bahawa enapan batuan berlaku di persekitaran arid (kering) yang lazimnya dikaitkan dengan usia Perm Akhir. Pada usia Perm Awal, persekitarannya dikaitkan dengan pengejukkan bumi dengan pembentukkan glasier.

 Singkapan perlapisan batu pasir yang tersingkap di bahagian selatan Bukit Keluang. Batuan ini melapisi konglomerat.

Antara struktur sesar yang dicerap pada singkapan batuan.