Melihat    kepada panorama di dunia ini, pernahkah terlintas di fikiran anda    beberapa persoalan kejadian alam yang unik. Antaranya ialah bagaimana    kewujudan pelbagai jenis batu pasir, granit, batu kapur, konglomerat dan    pelbagai lagi. Gunung Himalaya menjadi gunung tertinggi di dunia, kenapa    ia terletak di India dan ajaibnya pula adanya letupan gunung berapi yang    sangat besar seperti di Karakatoa di Indonesia dan beberapa tempat yang    aktif seperti di Filipina, Amerika Selatan, Kepulauan Sulawesi dan    kenapa pula tiada atau hampir tiada gunung berapi di Afrika, India,    Australia malah di Malaysia? Apakah itu gempa bumi, bagaimana tentang    kekuatannya dan yang penting sekali adakah negara kita selamat dari    gempa bumi yang kuat seperti di Kobe, Jepun. Selain itu persoalan tentang    sumber-sumber alam seperti bagaimana tentang kejadian dan terdapatnya    petroleum, emas, perak, intan, timah dan lain-lain bijih lagi turut    menarik perhatian untuk difikirkan.
  Bagaimana pula tentang usia bumi ini? Adakah 20,000 tahun sahaja atau 10    juta tahun atau 1 ribu tahun atau lebih dari itu? 
Bagaimana    tentang keadaan bumi ketika itu? Bagaimana tentang fosil, tentang    binatang perkasa yang dipanggil dinasour dan pokok-pokok raksaksa,    tentang kepupusan dan revolusi mereka dari zaman lampau sehingga kepada    bentuk seperti keadaan sekarang.
 
Sesungguhnya    terlalu banyak lagi persoalan tentang kajadian alam yang unik ini dan    tentunya ia manjadi cabaran dalam mendapatkan jawapan tentang persoalan    yang menarik ini. Persoalan -persoalan in hanyalah sebahagian daripada    pengkajian dalam bidang geologi. Geologi diambil dari perkataan latin    bermaksud 'Kajibumi' iaitu suatu cabang ilmu sains yang mengkaji tentang    kejadian batuan, pergerakan kerak bumi, gunung-ganang, serta kandungan    bumi seperti bijih-bijih, emas dan permata serta seribu macam persoalan    tentang bumi dan keunikannya. Ia menjadi semakin penting dewasa ini    khasnya dalam mencari sumber-sumber baru dari bumi yang semakin terhad    tapi keperluannya sangat mendesak seperti petroleum, keperluan air tanah,    platinum, bijih-bijih perindustrian dan permata. Di samping itu, ia    sangat perlu dalam kerja-kerja pembangunan sesebuah negara seperti    bangunan tinggi, jambatan. terusan, empanagan, dan lain-lain agar    kemusnahan besar dapat dielakkan. Ahli geologi juga sangat diperlukan    dalam meramalkan kejadian-kejadian alam yang memusnahkan seperti gempa    bumi dan letusan gunung berapi yang jika berlaku melibatkan taruhan    nyawa yang bukan sedikit.
 
Persoalan    mengenai geologi seterusnya lebih menarik jika dikaitkan bersama dengan    kemungkinan-kemungkinan kejadian yang telah dan boleh berlaku di negara    kita Malaysia yang tercinta ini. Antaranya bagaimana terdapatnya dua    banjaran yang besar iaitu Banjaran Titiwangsa dan Banjaran Timur yang    menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia. Dari batuan apa ia dibina    dan kenapa pula ia menganjur dari Utara ke Selatan? Kenapa pula    diantara dua banjaran ini, terdapat suatu kawasan yang agak luas yang    sangat kaya dengan emas seperti Raub dan Bukit Koman di Pahang di    antaranya sehingga 6.0 hingga 10.0 gram per tan dari batuan yang    dilombong. Begitu juga di timur Semenanjung Malaysia yang bukan sahaja    kaya dengan emas seperti di Lubuk Mandi dan Penjom, Kuala Lipis Pahang    malah luar pantai Kelantan, Terengganu dan Pahang sangat kaya dengan    petroleum yang bernilai tinggi yang sekarang menjadi salah satu sumber    kekayaan negara. Bagaimana tentang kejadian Kondominium Highland Towers    yang runtuh, kejadian runtuhan lumpur di jalan Genting Highland, runtuhan batuan yang memenuhi di Kilometer 21.8    Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran Bukit Lanjan dan    akhir-akhir ini tentang tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Bagaimana    tentang gempa bumi di Malaysia dan jika berlaku gempa bumi di Sumatera    yang dijangkakan boleh mencapai sehingga 8.5 pada skala Ritcher sahaja.    Bagaimana pula tentang gunung berapi di Malaysia?.
 
Tapi antara    persoalan menarik tentang Semenanjung Malaysia sekarang ialah benarkah    bahawa Timur Semenanjung Malaysia yang meliputi Pahang, Terengganu dan    Kelantan dan sebahagian Johor adalah dari benua yang berlainan dan    bertemu dengan Barat Semenanjung Malaysia pada suatu masa jutaan tahun    dahulu dan apakah bukti-bukti yang menyokongnya? Atau adakah Malaysia    dahulunya dipanggil Gondawanaland dan kemudiannya hanyut ke tempat di    mana ia berada sekarang? Inilah antara pelbagai persoalan geologi yang    menarik di Malaysia yang boleh kita fikirkan bersama jika terdapat asas    geologi di minda kita dan ini semua dapat diperolehi dengan mendapatkan    bacaan tentang geologi yang banyak terdapat di pasaran ataupun    perpustakaan.
 
Di Malaysia keperluan kepada pengetahuan dari ahli geologi semakin mendesak sedangkan negara hanya mampu mengeluarkan tidak sampai 30 orang geologi setahun. Keperluan ini boleh dicapai jika dapat ditanamkan minat kepada pelajar-pelajar pada masa persekolahan lagi dan bukannya setelah menjejaki menara gading. Kemungkinan sekarang, ramai pelajar tidak pernah mendengar apatah lagi memahami apa itu geologi. Tapi hanya mendapat sedikit gambaran tentang dinasour dari filem "Jurassic Park" sedikit masa dahulu. Jadi terpulanglah kepada generasi muda untuk mendalami tentang geologi bumi dan negara kita dan seterusnya memahami dan mencari jawapan persoalan-persoalan menarik bukan sahaja tentang persoalan di atas mahalan terdapat banyak lagi persoalan misteri di dalam bidang geologi. -Nahrafqifahs @ http://kgum.tripod.com/koleksi_artikel/artikel_01.htm
 

4 comments:
A very interesting blog. I am interested to have more understanding Geology of Malaysia. I am an explorationist working in Malcca Straits.
Eh eh, ada kat sini jugak... :)
i'm totally agree wit u, geologi mmg bez... amik bidng geofizik skng...
Subject ape yang kena score kalau nak amik bidang geology? ^^
Post a Comment