October 30, 2008

Fosil Brakiopod dari Sg. Itau, Langkawi


Fosil brakiopod Spirelytha petaliformis (Pavlova) ditemui di Kg. Sg. Itau, Langkawi dalam Formasi Singa. Menurut Dr. Mohd Shafeea Leman 2003, genus ini mendominasi himpunan brakiopod di kawasan tersebut dan dikorelasikan dengan fauna brakiopod di Kilim dan Ko Muk di Thailand. Himpunan brakiopod ini diletakkan pada bahagian atas Zon himpunan Arctitreta-Bandoproductus yang berusia Permian Awal iaitu kira-kira 294-284 juta tahun lampau.

Fasies Terkacau (Melange Raub), Bentong






Sebahagian singkapan fasies terkacau (olistostrom) dari Raub Melange yang tersingkap di kawasan perumahan Kg. Bharu dekat Bandar Bentong. Singkapan adalah kesinambungan dari singkapan yang ditemui di Jalanraya Lojing-K. Betis dan ditandai sebagai Zon sutur yang membahagikan pantai barat dan pantai timur dan juga membahagi kerak terain Sibumasu dan Indochina.


Fasies Terkacau (Melange Raub), Lojing











Singkapan fasies terkacau atau olistostrom ini boleh ditemui di KM 54 jalanraya yang menghubungkan C.Highlands ke K.Betis, Gua Musang. Singkapan yang sama boleh ditemui di Bandar Bentong dan merupakan sebahagian dari Melange Raub. Facies ini mengandungi himpunan berbagai bentuk klasta dan blok batuan yang terdiri dari berbagai jenis batuan seperti syal bertuff, batu pasir bertuf, kalsilutit dan batu lodak dalam berbagai saiz dari beberapa mm ke m diameternya. Matriknya adalah terdiri daripada syal kelabu ke kelabu kemerahan. Bagi klasta yang memanjang, ia didapati selari dengan satah perlapisan. Klasta-klata atau blok-blok batuan yang berbagai saiz dan bentuk yang tertempel dalam matrik batu lumpur/syal menunjukkan bahawa pengenapan adalah tidak jauh dari puncanya. Fasies ini terbentuk hasil pergerakan jasad cerun yang berskala besar dan terenap sebagai talus di bahagian cenuram marin kuno.

Ia juga adalah sebahagian dari Zon Suture Bentong-Raub yang memanjang dari Tomo, selatan Thailand yang melalui Lojing, Bentong dan Raub sterusnya hingga ke timur bandar Melaka. Ia berkesinambungan lagi merentasi Selat Melaka hingga ke Bengkalis Depression di Sumatra Tengah. Zon ini mencapai kelebaran sehingga 13km yang mengandungi rijang, serpentinit, melange (olistostrom) dan syis kuartza-mika yang berusia Devonian.

Antara fosil yang boleh ditemui dalam klasta-klastanya adalah seperti berikut:

  • Konodon berusia Permian dan awal Triassik- Neospthodus cristagalli, Neostreptognathodus sp. dan Neogondolella sp. (Klasta batu kapur)
  • Fusulinit berusia awal Permian- Schwagerina sp., Pseudosschwagerina sp. dan Parafusulina sp. (Klasta batu kapur)
  • Brakiopod berusia Karbon Bawah- Eomarginifera tenuis dan Punctospirifer pahangensis.





Gunung Ayam, K. Betis, Gua Musang


Konglomerat Gunung Ayam ini merupakan satu formasi yang baru. Sebelum ini, formasi ini telah dimasukkan kedalam Formasi Gua Musang oleh ramai pengkaji (Yin, 1965; Ismail, 1991; Ng, 1991 dan Lim, 1991). Kajian yang dilakukan oleh pengkaji di atas bersetuju meletakkan unit konglomerat yang terdapat di Gunung Ayam sebagai bahagian bawah atau dasar kepada Formasi Gua Musang.

Nama Formasi Konglomerat Gunung Ayam di ambil sempena dengan nama Gunung Ayam yang terletak di bahagian barat Kuala Betis.

Taburan Konglomerat Gunung Ayam yang hanya tersingkap atau terletak di tepi Garis Bentong boleh membantu kajian kewujudan formasi ini. Zon ricih mungkin merupakan satu zon sesar yang memisahkan Kumpulan Bentong dengan unit yang lebih muda daripadanya di sebelah timur. sumber-Dr.Kamal Roslan,UKM